Abang kawan saya (ketika mereka masih kanak-kanak) meyakinkan kawan saya itu bahawa sebatang payung adalah cukup kuat untuk mengangkatnya selagi dia sudi hanya “percaya”. Oleh itu, “dengan iman” kawan saya itu melompat dari bumbung bangsal lalu pengsan, serta mengalami kecederaan kepala yang minor.

Apa yang dijanjikan oleh Tuhan, pasti dilaksanakan-Nya. Tetapi kita mesti pasti bahawa kita berpegang pada firman Tuhan yang sebenar apabila kita menuntut satu janji, kerana hanya dengan demikian kita mempunyai keyakinan bahawa Tuhan akan melakukan atau memberi apa yang dijanjikan-Nya. Iman tidak ada kuasa dalam dirinya. Iman hanya dianggap benar apabila berdasarkan janji Tuhan yang jelas dan tidak membingungkan. Segala sesuatu yang lain cumalah angan-angan.

Contohnya: Tuhan telah berjanji, “Mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan. Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat” (Yohanes 15:7-8). Ayat-ayat ini bukanlah janji bahawa Tuhan akan menjawab setiap doa yang kita ucapkan, tetapi ialah janji bahawa Dia akan membalas setiap orang yang ingin menjadi benar, yang dinamakan “buah Roh” oleh Paulus (Galatia 5:22-23). Jika kita berasa lapar dan haus akan kekudusan, serta meminta Tuhan untuk hal itu, Dia akan mula memuaskan kita. Ia akan mengambil masa; kerana pertumbuhan rohani, seperti pertumbuhan tubuh, merupakan proses yang beransur-ansur. Jangan putus asa. Terus meminta agar Tuhan menjadikan anda kudus. Dalam masa dan rentak-Nya, “permohonan itu akan dikabulkan.” Tuhan tidak membuat janji yang tidak ditunaikan-Nya.