Perjalanan pulang ke rumah sejauh 1.6 kilometer selepas menghantar anak perempuan saya ke sekolahnya memberikan saya peluang untuk menghafal beberapa ayat Alkitab—jika saya memang mahu melakukannya. Apabila saya mengambil beberapa minit itu untuk merenungkan firman Tuhan dalam fikiran saya, saya sering mendapati bahawa ayat-ayat ini akan terlintas dalam minda saya kemudian pada hari itu. Ini memberikan saya penghiburan dan hikmah.

Sewaktu Musa menyediakan orang Israel untuk masuk ke Tanah Perjanjian, dia mendesak mereka menyimpan peraturan dan perintah Tuhan dalam hati mereka (Ulangan 6:1-2). Dengan keinginan untuk melihat mereka semakin memahami firman Tuhan, dia berkata bahawa mereka harus merenungkan arahan-arahan ini dalam fikiran mereka dan membincangkannya dengan anak-anak mereka (ayat 6-7). Dia juga meminta mereka mengikatnya pada tangan dan dahi mereka (ayat 8). Dia tidak mahu mereka melupakan arahan Tuhan supaya mereka hidup sebagai orang yang menghormati Tuhan dan menikmati berkat-berkat-Nya.

Bagaimanakah anda merenungkan firman Tuhan pada hari ini? Anda boleh menuliskan satu ayat Alkitab, dan setiap kali anda mencuci tangan atau minum, bacakan ayat itu serta renungkan dalam fikiran anda. Atau sebelum anda tidur, pertimbangkan satu petikan yang pendek daripada Alkitab dan amalkannya dalam kehidupan pada hari itu. Ada banyak cara untuk menyimpan firman Tuhan dalam hati kita!