Ini bukan sekadar menyeberangi sungai. Mengikut undang-undang, jeneral Rom dilarang memimpin askar yang bersenjata masuk ke Rom. Maka apabila Julius Caesar memimpin Legion Ketiga Belas menyeberangi Sungai Rubicon dan masuk ke Itali pada tahun 49 SM, ini merupakan tindakan pengkhianatan. Akibat daripada keputusan Kaisar yang tidak dapat diubah ini, tercetuslah perang saudara yang berlangsung selama bertahun-tahun sebelum jeneral Rom yang hebat ini menjadi pemerintah mutlak. Hari ini, frasa “menyeberangi Sungai Rubicon” ialah metafora untuk menghuraikan detik tentang perbuatan kita yang “tidak boleh ditarik balik.”
Ada kalanya kita menyeberangi Sungai Rubicon dalam hubungan sesama dengan kata-kata yang kita ucapkan kepada orang lain. Sekali diucapkan, perkataan itu tidak boleh ditarik balik. Kata-kata tersebut boleh sahaja memberi bantuan dan penghiburan, atau membawa kemusnahan seperti penaklukan Kaisar ke atas Rom. Yakobus juga memberikan kita satu lagi gambaran tentang perkataan apabila dia berkata, “Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka” (Yakobus 3:6).
Apabila kita berasa bimbang bahawa kita telah “menyeberangi Sungai Rubicon” seseorang, maka kita boleh meminta maaf daripada mereka—dan daripada Tuhan (Matius 5:23-24; 1 Yohanes 1:9). Tetapi lebih baik bergantung kepada Roh Kudus setiap hari, mendengar cabaran Paulus ini, “Perkataanmu hendaklah sentiasa penuh dengan kasih kurnia” (Kolose 4:6), supaya perkataan kita bukan sahaja menghormati Tuhan kita, malahan mengangkat dan mendorong mereka yang ada di sekeliling kita.