Ketika saya terus mempercayai Tuhan sambil bergelut dengan kesakitan kronik, kesusahan yang paling kecil pun terasa seperti serangan musuh yang paling kejam. Masalah Pertama menyerang bahagian kanan badan saya. Masalah Kedua menyerang saya dari belakang. Masalah Ketiga ialah seakan-akan ada tumbukan pada bahagian hidung. Pada saat-saat begini, apabila kekuatan saya merosot dan perasaan lega melenyap dengan segera, seumpamanya melarikan diri dan menyembunyikan diri merupakan idea yang baik. Tetapi oleh sebab saya tidak dapat melepaskan diri daripada kesakitan, tidak dapat mengubah keadaan, atau tidak menghiraukan perasaan saya, maka saya belajar dengan bergantung kepada Tuhan untuk membawa saya melaluinya.
Ketika saya memerlukan dorongan, penghiburan serta kekuatan, saya membaca dan berdoa sambil meneliti pemazmur, yang menyerahkan situasi mereka kepada Tuhan dengan jujur. Dalam salah satu mazmur kegemaran saya, Raja Daud melarikan diri daripada Absalom, anaknya yang ingin membunuh dan merampas kerajaannya. Walaupun Daud mengeluh tentang keadaannya yang sungguh menyakitkan (Mazmur 3:1-2), dia mempercayai perlindungan Tuhan dan mengharapkan Tuhan untuk menjawab doanya (Mazmur 3:3-4). Raja tidak kehilangan tidur disebabkan oleh perasaan khuatir atau takut dengan apa yang mungkin bakal berlaku, kerana dia mempercayai bahawa Tuhan akan memelihara dan menyelamatkannya (Mazmur 3:5-8).
Kesakitan fizikal dan emosi boleh sahaja terasa seperti musuh yang ganas. Kita mungkin dicubai untuk menyerah kalah atau ingin melepaskan diri apabila kita berasa penat dan tidak dapat melihat penghujung peperangan yang sedang dilalui. Tetapi seperti Daud, kita boleh belajar untuk mempercayai bahawa Tuhan akan memberi kita kekuatan dan menolong kita untuk bersandar pada hadirat-Nya yang kekal dan penuh kasih.