“Dengar!” kata isteri saya dalam telefon. “Ada monyet di halaman kita!” Dia mengangkat telefonnya supaya saya dapat mendengar bunyi monyet itu. Ya, ia kedengaran seperti seekor monyet. Namun keadaan ini amat pelik, kerana monyet liar yang paling dekat berada sejauh lebih daripada 3000 kilometer dari tempat kami.
Kemudian, bapa mentua saya menyelesaikan persoalan kami. “Itu burung hantu bubu,” jelasnya. Rupa-rupanya kenyataan bukan seperti yang dilihat.
Apabila tentera Raja Sanherib mengepung raja Hizkia dalam tembok Yerusalem, orang Asyur yakin bahawa mereka pasti akan memperoleh kemenangan. Namun kenyataan adalah sebaliknya. Walaupun pegawai tentera Asyur menggunakan kata-kata manis dan pura-pura bercakap bagi pihak Tuhan, Tuhan melindungi umat-Nya.
“Adakah kamu menyangka bahawa aku menyerang negeri kamu dan memusnahkannya tanpa pertolongan TUHAN?” tanya pegawai tentera Asyur itu (2 Raja-Raja 18:25, Alkitab BB). Sewaktu dia cuba mendorong Yerusalem untuk menyerah diri, dia sanggup berkata, “Kamu tidak akan mati melainkan hidup!” (2 Raja-Raja 18:32).
Itu kedengaran seperti sesuatu yang akan dikatakan oleh Tuhan. Tetapi nabi Yesaya menyampaikan kata-kata sebenar daripada Tuhan kepada orang Israel. “Dia (Sanherib) tidak akan masuk ke dalam kota ini dan tidak akan menembakkan anak panah di sini”, kata Tuhan. “Aku akan melindungi kota ini dan menyelamatkannya” (2 Raja-Raja 19:32-34; Yesaya 37:35). Pada malam itu, “Malaikat Tuhan” menewaskan orang Asyur (ayat 36).
Dari semasa ke semasa, kita akan berhadapan dengan orang yang bermulut manis, yang ingin “menasihati” kita sambil menyangkal kuasa Tuhan. Itu bukan suara Tuhan. Dia berkata kepada kita melalui firman-Nya. Dia memimpin kita dengan Roh-Nya. Tangan-Nya melindungi mereka yang mengikut Dia, dan Dia tidak akan meninggalkan kita.