“Adakah anda melihat Tuhan bekerja akhir-akhir ini?” tanya saya kepada beberapa orang kawan. Seorang menjawab, “Saya melihat Dia bekerja sewaktu saya membaca Alkitab setiap pagi; saya melihat Dia bekerja sewaktu Dia menolong saya menghadapi setiap hari yang baru; saya melihat Dia bekerja apabila saya tahu bahawa Dia telah menyertai saya dalam setiap langkah saya—saya menyedari bahawa Dia telah menolong saya menghadapi cabaran dan memberikan saya sukacita.” Saya suka jawapannya kerana ini menggambarkan bahawa melalui firman Tuhan dan Roh Kudus yang tinggal di dalam kita, Tuhan berada dekat dengan kita, dan bekerja dalam kehidupan orang yang mengasihi-Nya.
Tuhan bekerja dalam para pengikut-Nya merupakan suatu misteri yang indah, dan menjadi bahan rujukan bagi penulis surat Ibrani pada bahagian terakhir yang dikenal sebagai perestuan: “… mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Yesus Kristus” (Ibrani 13:21). Dengan kesimpulan ini, penulis memperkukuh inti surat ini—bahawa Tuhan akan melengkapkan umat-Nya untuk mengikut Dia dan Tuhan akan bekerja dalam dan melalui mereka untuk kemuliaan-Nya.
Pemberian Tuhan, iaitu pekerjaan-Nya dalam diri kita, boleh sahaja memberi kejutan kepada kita; mungkin kita mengampuni orang yang bersalah terhadap kita, atau menunjukkan kesabaran kepada orang yang susah. “Allah kesejahteraan” (ayat 20) kita mencurahkan kasih dan damai-Nya dalam dan melalui kita. Adakah anda melihat Tuhan bekerja akhir-akhir ini?
Beritahukan kami bagaimana anda telah melihat Tuhan bekerja dalam hidup anda. https://www.facebook.com/pedoman.harian