Sewaktu di universiti, saya bangun pada suatu pagi dan mendapati Carol, rakan sebilik saya dalam keadaan panik. Cincin meterainya telah hilang. Kami mencari di merata-rata tempat. Pada keesokan paginya, kami mencari di tempat pembuangan sampah.
Saya membuka satu beg sampah. “Kamu begitu bersungguh-sungguh untuk mencarinya!”
“Aku tidak sanggup kehilangan satu cincin yang berharga dua ratus dollar!” jeritnya.
Kesungguhan Carol mengingatkan saya tentang satu perumpamaan yang dikatakan Yesus tentang kerajaan syurga, yang “ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu, dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu” (Matius 13:44). Sesetengah perkara adalah cukup berharga untuk dicari.
Dalam seluruh Alkitab, Tuhan telah berjanji bahawa mereka yang mencari-Nya akan menemui-Nya. Dalam Ulangan, Dia menjelaskan kepada umat Israel bahawa mereka akan menemui-Nya sekiranya mereka berpaling daripada dosa dan mencari-Nya dengan segenap hati (4:28-29). Dalam kitab 2 Tawarikh, Raja Asa mendapat dorongan daripada janji-janji yang serupa (15:2). Dalam kitab Yeremia, Tuhan juga memberi janji yang sama kepada umat Israel yang telah dibuang, bahawa Dia akan membawa mereka kembali daripada tawanan (29:13-14).
Jika kita mencari Tuhan, melalui Firman-Nya, penyembahan, dan kehidupan seharian kita, kita akan menemui-Nya. Kita akan mengenali-Nya dengan lebih mendalam dari semasa ke semasa. Inilah saat yang akan menjadi lebih indah berbanding dengan waktu yang Carol menemui cincinnya di dalam beg sampah tersebut!