Adakah anda seorang yang mudah bimbang? Saya jenis orang ini. Saya bergelut dengan kebimbangan hampir setiap hari. Saya bimbang akan perkara besar. Saya bimbang akan perkara kecil. Kadang-kadang saya bimbang akan segala-galanya. Sewaktu remaja, saya pernah menelefon polis apabila ibu bapa saya lewat pulang ke rumah selama empat jam.
Alkitab berulang kali memberitahu kita agar jangan takut. Oleh sebab kebaikan serta kuasa Tuhan, dan kerana Dia telah mengutus Yesus untuk mati bagi kita, dan Roh Kudus untuk membimbing kita, ketakutan tidak lagi menguasai hidup kita. Kita mungkin menghadapi perkara yang mencabar, tetapi Tuhan telah berjanji untuk melalui semuanya bersama kita.
Satu petikan yang telah membantu saya pada masa yang menakutkan adalah Yesaya 51:12-16. Di sini, Tuhan mengingatkan umat-Nya, yang telah mengalami penderitaan yang dahsyat, bahawa Dia masih menyertai mereka, dan hadirat-Nya yang menghibur adalah kebenaran muktamad. Tidak kira betapa buruknya keadaan anak-Nya: “Aku, Akulah yang menghiburkan kamu,” Dia memberitahu mereka melalui nabi Yesaya (ayat 12).
Saya suka janji itu. Lima patah perkataan itu menjadi sauh yang menstabilkan emosi dalam jiwa saya. Saya telah berpegang teguh pada janji ini berulang kali apabila hidup saya menjadi sangat tertekan, apabila “ketakutan sepanjang hari” (ayat 13) seumpamanya suatu keseksaan. Melalui petikan ini, Tuhan mengingatkan saya mengalihkan mata saya daripada ketakutan saya, kemudian dengan iman serta kebergantungan memandang Tuhan yang “membentangkan langit” (ayat 13)—Dia berjanji untuk menghiburkan kita.