“Gip” Hardin, seorang pengkhutbah Methodist, menamakan anaknya sempena nama seorang pengkhutbah yang terkenal, John Wesley, yang mencerminkan harapan dan aspirasi Gip untuk anak lelakinya. Bagaimanapun, John Wesley Hardin secara tragik telah memilih arah kehidupan yang amat berbeza dengan maksud sebenar dalam namanya. Dengan mengakui bahawa dia telah membunuh seramai 42 orang, Hardin menjadi salah seorang penjenayah bersenjata api yang paling terkenal di Amerika Barat pada akhir 1800-an.
Dalam Alkitab, seperti kebanyakan budaya hari ini, nama ada maksud yang istimewa. Dengan mengumumkan kelahiran Anak Tuhan, malaikat mengarahkan Yusuf menamakan anak Maria “Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Matius 1:21). Makna nama Yesus—”Yehovah menyelamatkan”—mengesahkan bahawa misi-Nya adalah menyelamatkan manusia daripada dosa.
Tidak seperti Hardin, Yesus dengan sepenuhnya dan secara sungguh-sungguh hidup berdasarkan maksud nama-Nya. Melalui kematian dan kebangkitan-Nya, Dia telah mencapai misi penyelamatan-Nya. Yohanes mengesahkan kuasa yang memberi hidup pada nama Yesus dengan berkata, “Tetapi segala yang telah dituliskan di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Yesus ialah Kristus, Anak Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya” (Yohanes 20:31). Kitab Kisah Para Rasul mengajak semua orang mempercayai Dia, kerana, “Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita” (Kisah Para Rasul 4:12).
Semua orang yang memanggil nama Yesus yang tiada tandingnya dalam iman, akan mengalami pengampunan dan pengharapan yang disediakan-Nya. Sudahkah anda memanggil nama-Nya?