Ketika kami sedang mengedarkan makanan ringan untuk kanak-kanak di program Sekolah Alkitab, kami memerhatikan seorang budak lelaki yang melahap makanan ringannya. Kemudian dia juga makan baki makanan daripada kanak-kanak lain di mejanya. Walaupun saya sudah memberikan satu beg bertih jagung kepadanya, dia masih tidak puas. Sebagai pemimpin, kami berasa bimbang tentang keadaan budak kecil yang begitu lapar itu.
Fikiran ini terlintas dalam minda saya: kita boleh sahaja menjadi seperti budak lelaki itu dalam aspek emosi. Kita mencari jalan untuk memuaskan keinginan kita yang paling dalam, tetapi kita tidak akan menemukan apa yang dapat memberikan kepuasan sepenuhnya kepada kita.
Nabi Yesaya mengajak mereka yang lapar dan dahaga untuk “mari, belilah makanan dan makanlah” (Yesaya 55:1). Tetapi kemudian dia bertanya, “Mengapakah kamu membelanjakan wang untuk sesuatu yang bukan makanan, dan hasil jerih lelahmu untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan?” (ayat 2). Dalam bahagian ini, Yesaya bukan merujuk kepada kelaparan fizikal semata-mata. Tuhan dapat memuaskan kelaparan rohani dan emosi kita melalui janji-Nya yang akan selalu menyertai kita. “Perjanjian yang kekal” dalam ayat 3 adalah peringatan tentang janji Tuhan kepada Daud dalam 2 Samuel 7:8-16. Melalui keturunan Daud, Penyelamat akan datang untuk menghubungkan manusia semula dengan Tuhan. Kemudian, dalam Yohanes 6:35 dan 7:37, Yesus memberikan undangan seperti yang diberikan oleh Yesaya, iaitu memperkenalkan diri-Nya sebagai Penyelamat yang telah dinubuat oleh Yesaya dan nabi-nabi yang lain.
Adakah anda berasa lapar? Tuhan mengundang anda datang dan berada di hadirat-Nya.