Oleh sebab saya suka makan coklat hitam, maka saya pernah melayari Google tentang topik, “Adakah coklat hitam baik untuk anda?” Saya mendapat pelbagai jawapan—ada beberapa jawapan yang baik dan yang buruk. Anda boleh mendapat keputusan pencarian yang sama untuk hampir semua produk makanan. Adakah susu baik untuk anda? Adakah kopi baik untuk anda? Adakah beras baik untuk anda? Terdapat pelbagai jawapan yang memeningkan untuk soalan-soalan ini, jadi anda perlu maklum bahawa pencarian itu sendiri mungkin tidak baik untuk anda, kerana semua ini mungkin boleh menyebabkan anda sakit kepala!
Tetapi jika anda mencari sesuatu yang seratus peratus baik untuk anda pada setiap masa, saya mencadangkan firman Tuhan. Dengarlah apa yang dapat dilakukannya kepada para pengikut Yesus yang ingin membina hubungan dengan Tuhan.
Firman Tuhan boleh membuat anda suci (Mazmur 119:9, 11).
Firman Tuhan memberkati anda (Lukas 11:28).
Firman Tuhan menjadikan anda bijak (Matius 7:24).
Firman Tuhan membawa cahaya dan memberi pengertian (Mazmur 119:130).
Firman Tuhan membantu anda bertumbuh secara rohani (1 Petrus 2:2).
Tuhan kita baik: “TUHAN baik kepada semua,” menurut Mazmur 145:9. Dalam kebaikan-Nya, Dia telah memberi orang yang mengasihi Dia satu panduan yang dapat membantu kita melihat cara untuk menjalinkan hubungan kita dengan Dia yang lebih baik. Apabila kita cuba menentukan cara hidup dalam dunia yang penuh dengan berbagai-bagai pilihan, pujilah Tuhan kerana Dia telah menyatakan perkara yang baik untuk kita melalui Alkitab. Marilah kita berkata bersama-sama penulis mazmur: “Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku” (Mazmur 119:103).