Saya mengagumi orang yang mencatatkan permohonan doa mereka dalam jurnal-jurnal yang sudah koyak disebabkan penggunaan harian, mereka yang menjejaki setiap doa dan memberi pujian lalu mengemaskinikan senarai doa mereka dengan setia. Saya diilhamkan oleh mereka yang berkumpul dengan orang lain untuk berdoa dan berlutut sehingga melusuhkan permaidani di tempat tidur mereka. Selama bertahun-tahun, saya cuba mempelajari gaya mereka dan mengikut jejak doa hidup yang tepat, serta meniru golongan yang lebih petah berkata-kata daripada saya. Saya berusaha untuk menguraikan apa yang dianggap misteri bagi saya, kerana saya ingin mempelajari cara yang betul untuk berdoa.

Akhirnya, saya telah belajar bahawa Tuhan kita hanya memahukan doa yang dimulai dan diakhiri dengan kerendahan hati (Matius 6:5). Dia mengundang kita menyertai persekutuan yang intim yang Dia berjanji untuk mendengar doa kita (ayat 6). Dia tidak memerlukan kata-kata, frasa atau ungkapan yang berbunga-bunga atau dihafal (ayat 7). Dia memberi jaminan kepada kita bahawa doa adalah kurnia, satu kesempatan untuk memuliakan keagungan-Nya (ayat 9-10), memperlihatkan keyakinan kita akan pemberian-Nya (ayat 11), dan meneguhkan keselamatan kita dalam pengampunan dan pimpinan-Nya (ayat 12-13).

Tuhan meyakinkan kita bahawa Dia mendengar dan mempedulikan setiap doa yang diucapkan dan tidak diucapkan, serta doa–doa disertakan air mata yang berlinang-linang ke pipi dengan perlahan. Apabila kita meletakkan kepercayaan kita kepada Tuhan dan kasih-Nya yang sempurna, maka kita boleh pasti bahawa berdoa dengan penuh kerendahan hati dan penyerahan kepada-Nya merupakan cara yang sentiasa betul ketika berdoa.