Sebelum kematiannya, pelukis dan mubaligh Lilias Trotter memandang ke luar jendela dan mendapat penglihatan tentang sebuah kereta kuda syurgawi yang beroda dua. Menurut ahli biografinya, seorang kawan bertanya kepadanya, “Adakah anda melihat banyak perkara yang indah?” Dia menjawab, “Ya, banyak, banyak perkara yang indah.”
Kata-kata terakhir Trotter mencerminkan pekerjaan Tuhan dalam hidupnya. Bukan sahaja dalam kematian, tetapi sepanjang kehidupannya, Tuhan telah menyatakan banyak perkara yang indah kepada dia dan melalui dia. Walaupun dia seorang artis yang berbakat, dia memilih untuk melayani Yesus dengan menjadi seorang mubaligh di Algeria. John Ruskin, pelukis terkenal yang pernah memberi tunjuk ajar kepadanya, diperkatakan bahawa dia telah memberi komen ini, “Sungguh sia-sia bakatnya,” apabila Trotter memilih bidang misi dan bukan kerjaya dalam seni.
Begitu juga, dalam Perjanjian Baru, ketika seorang wanita datang ke rumah Simon, orang yang menghidapi penyakit kusta dengan membawa kendi pualam berisi minyak narwastu murni dan menuangkan minyak itu ke atas kepala Yesus, orang lain menganggap itu sebagai suatu pembaziran. Minyak wangi yang mahal ini mempunyai nilai sama dengan upah pekerja biasa selama satu tahun, jadi beberapa orang di situ berpendapat bahawa ia boleh digunakan untuk membantu golongan miskin. Bagaimanapun, Yesus memuji ketulusan hati dalam persembahan wanita ini dengan berkata, “Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku” (Markus 14:6).
Setiap hari kita boleh sahaja memilih untuk membiarkan Kristus bersinar dalam kehidupan kita dan mempamerkan keindahan-Nya kepada dunia. Bagi sebahagian orang, ini mungkin kelihatan membazirkan, tetapi marilah kita memiliki hati yang bersedia untuk melayani Dia. Semoga Yesus berkata bahawa kita telah melakukan banyak perkara yang indah untuk Dia.