Walaupun banyak kali dilihat oleh orang awam di pantai Queensland Selatan, Australia, Migaloo merupakan ikan paus bongkok berwarna putih yang pertama didokumentasikan. Makhluk yang dianggarkan lebih daripada 12 meter panjang dan mengagumkan itu amat jarang ditemukan, sehingga Australia meluluskan satu undang-undang yang khas untuk melindunginya.
Alkitab memberitahu kita tentang “ikan besar” yang begitu jarang ditemukan, yang telah disediakan oleh Tuhan khas untuk menelan seorang nabi yang melarikan diri (Yunus 1:17). Kebanyakan orang sudah tahu tentang cerita ini. Tuhan memerintah Yunus menyampaikan penghakiman ke atas kota Niniwe. Tetapi Yunus tidak mahu ada kaitan dengan orang Niniwe yang mempunyai reputasi mengenai sifat kejam terhadap hampir semua orang—termasuk orang Ibrani. Justeru itu, dia melarikan diri. Akibatnya Yunus berada dalam masalah besar. Ketika dalam perut ikan, Yunus bertaubat. Akhirnya dia memberitakan apa yang disampaikan oleh Tuhan kepada orang Niniwe, mereka pun bertaubat (3:5-10).
Satu kisah yang hebat, bukan? Namun kisah tersebut tidak berakhir sedemikian. Sewaktu kesemua warga di Niniwe bertaubat, Yunus mencebik dan menjadi marah. “Ya TUHAN, bukankah sudah kukatakan?” dia berdoa. “Aku tahu betapa Engkaulah Tuhan pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih, serta berbelas kasihan” (4:2). Walaupun Yunus diselamatkan oleh Tuhan daripada pengalaman nyaris mati, kemarahannya semakin bertambah sehingga dia berdoa agar Tuhan mengambil nyawanya (ayat 3).
Kisah nabi Yunus bukannya menonjolkan ikan. Kisah ini memperlihatkan sifat manusia, dan sifat Tuhan yang tidak berhenti-henti mencari kita. Rasul Petrus menulis bahawa Tuhan, “amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat” (2 Petrus 3:9). Tuhan menawarkan kasih-Nya kepada orang Niniwe yang kejam, mahupun nabi-nabi yang mencebik, serta anda dan saya.