Ada kalanya percubaan untuk melakukan perkara yang betul boleh meletihkan. Kita mungkin tertanya-tanya, Adakah kata-kata dan tindakan saya yang berniat baik boleh membawa sebarang perbezaan? Baru-baru ini saya merenungkan hal ini ketika menghantar e-mel berbentuk doa dengan tujuan untuk memberi dorongan kepada seorang rakan, tetapi balasan yang saya terima adalah penuh kemarahan. Reaksi segera saya adalah bercampur baur dengan perasaan sakit dan marah. Mengapakah e-mel saya itu boleh disalahfahami?
Sebelum saya membuat sebarang balasan akibat perasaan marah, saya teringat bahawa kita tidak akan selalu melihat hasil yang baik (atau pengakhiran yang kita inginkan) apabila kita memberitahu seseorang bahawa Yesus sangat mengasihi mereka. Apabila kita melakukan perkara-perkara yang baik untuk orang lain dengan harapan bahawa ini akan menarik mereka kepada Yesus, mereka mungkin menolak kita. Usaha kita yang lembut untuk mendorong seseorang mengambil tindakan yang betul juga mungkin diabaikan.
Apabila kita menjadi kecewa akibat respons seseorang terhadap usaha kita yang ikhlas, kita boleh berpaling kepada Galatia 6. Di sini rasul Paulus mendorong kita mempertimbangkan motif kita—”menguji kerjanya sendiri”—terhadap apa yang kita katakan dan lakukan (Galatia 6:1-4). Apabila kita telah berbuat demikian, dia mendorong kita bersikap tabah: “Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang” (Galatia 6:9-10).
Tuhan mahu kita terus hidup untuk Dia, termasuklah “berbuat baik”, yakni memberitakan Yesus kepada orang lain dan berdoa untuk orang lain, serta menyerahkan segala respons orang lain kepada Tuhan.