Suatu hari ketika saya pulang dari tempat kerja, saya melihat sepasang kasut wanita bertumit tinggi diletakkan di sebelah pintu masuk, maka saya mengenal pasti bahawa kasut itu kepunyaan Lisa, anak perempuan saya. Jadi saya meletakkan kasut itu di garaj supaya boleh memulangkan kepada Lisa apabila dia datang mengambil anak-anaknya. Tetapi rupa-rupanya kasut itu bukan kepunyaan Lisa. Sebenarnya, kasut itu bukan kepunyaan sesiapa di kalangan keluarga kami. Jadi saya meletakkan kasut itu kembali ke tempat yang saya telah menjumpainya. Pada keesokan harinya, kasut itu sudah tiada lagi. Sungguh misteri.

Adakah anda tahu bahawa Rasul Paulus menulis satu misteri dalam suratnya? Tetapi misteri yang digambarkannya bukan sekadar “siapa pelakunya.” Misalnya dalam Efesus 3, Paulus menceritakan misteri yang ada “pada zaman-zaman silam rahsia itu tidak diberitahu kepada manusia” (ayat 5). Misteri ini ialah, pada masa lalu Tuhan telah mendedahkan diri-Nya melalui Israel, sekarang adalah melalui Yesus, agar bangsa-bangsa bukan Yahudi—mereka yang berada di luar Israel—boleh “sama-sama menjadi waris” (ayat 6).

Fikirkan apa yang dimaksudkan dengan ini: semua orang yang mempercayai Yesus sebagai Penyelamat boleh mengasihi dan melayani Tuhan bersama-sama. Setiap orang percaya boleh sama-sama “mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman” (Efesus 3:12). Melalui kesatuan gereja, dunia akan melihat kebijaksanaan dan kebaikan Tuhan (Efesus 3:10).

Puji Tuhan untuk penyelamatan kita. Ia menyingkapkan misteri ini kepada kita: bangsa-bangsa daripada pelbagai latar belakang telah disatukan dalam Yesus.