Semasa satu percutian baru-baru ini, isteri saya dan saya telah melawat sebuah kompleks olahraga yang terkenal. Pintu-pintu gerbang itu terbuka lebar, dan kelihatannya lawatan kami amat dialu-alukan. Kami menikmati lawatan ini sambil mengagumi padang sukan yang cantik. Ketika kami hendak pergi, seseorang menghalang kami dan dengan dingin dan memberitahu bahawa kami tidak sepatutnya berada di situ. Tiba-tiba, kami diingatkan bahawa kami ialah orang luar—dan perasaan ini adalah tidak selesa.
Pada percutian itu, kami juga melawat sebuah gereja. Sekali lagi, pintu dibuka lebar, jadi kami pun berjalan masuk. Betapa besar perbezaannya! Ramai orang menyambut kami dengan sangat mesra dan membuat kami berasa seperti di rumah. Kami berjalan keluar selepas kebaktian gereja itu dengan penuh perasaan disambut dan diterima.
Sedihnya, kadangkala orang luar akan menerima mesej senyap bahawa “anda tidak sepatutnya berada di sini” apabila mereka melawat sesebuah gereja. Tetapi Alkitab memanggil kita melayani semua orang dengan mesra. Yesus berkata kita harus mengasihi jiran kita seperti mengasihi diri sendiri, yang sudah pasti bermakna mengalu-alukan mereka ke dalam kehidupan kita dan gereja-gereja kita (Matius 22:39). Dalam kitab Ibrani, kita diingatkan untuk “meraikan orang asing” (Ibrani 13:2). Kedua-dua Lukas dan Paulus mengajar kita menunjukkan kasih yang disertakan tindakan kepada orang yang ada keperluan dari segi sosial dan fizikal (Lukas 14:13-14; Roma 12:13). Di kalangan orang yang beriman, kita mempunyai tanggungjawab khusus untuk menunjukkan kasih (Galatia 6:10).
Apabila kita mengalu-alukan semua orang secara terbuka dengan penuh kasih seperti Kristus, kita mencerminkan kasih dan belas kasihan Penyelamat kita.