Doktor tidak berkerut dahi apabila dia bercakap dengan suami saya mengenai diagnosis kansernya baru-baru ini. Dengan senyuman, dia mencadangkan satu perkara: mulakan setiap hari dengan mengucap syukur. “Untuk sekurang-kurangnya tiga perkara,” kata doktor itu. Suami saya, Dan bersetuju, kerana dia menyedari bahawa rasa syukur akan membuka hati kita untuk mencari kekuatan melalui kebaikan Tuhan. Oleh itu, Dan memulakan setiap hari dengan kata-kata pujian. Ya Tuhan, terima kasih kerana saya boleh rehat dengan baik pada malam tadi. Saya bersyukur untuk katil yang bersih. Untuk cahaya matahari. Untuk sarapan pagi di atas meja. Untuk senyuman di bibir saya.
Setiap perkataan adalah ikhlas. Tetapi bukankah perkara itu remeh sahaja? Adakah pujian kita untuk butiran yang kecil dalam kehidupan kita adalah penting bagi Tuhan Yang Maha Agung? Dalam Mazmur 50, ketua pemuzik Daud, iaitu Asaf, memberikan jawapan yang jelas. Tuhan “tidak memerlukan lembu jantan dari kandang di rumahmu atau kambing dari kawananmu” (ayat 9). Tuhan tidak mahu kita mempersembahkan kesyukuran seperti yang diamalkan oleh Israel, Tuhan mahu umat-Nya memberikan hati dan hidup kita kepada-Nya dengan kesyukuran (ayat 14,23).
Seperti pengalaman suami saya, bersyukur dengan sepenuh hati akan menolong pertumbuhan rohani kita. Kemudian apabila kita berseru kepada Tuhan “pada masa kesusahan,” Dia akan “menyelamatkan” kita (ayat 15). Adakah ini bermakna bahawa Dan akan disembuh secara rohani dan fizikal, semasa dia menjalani rawatan selama dua tahun? Atau selepas kita pergi ke syurga? Kita tidak tahu. Tetapi buat masa ini, Dan berasa amat gembira untuk menyatakan kesyukurannya terhadap kasih Tuhan, dan siapa Tuhan: Penebus. Penyembuh. Sahabat. Kawan-kawannya juga turut bersukacita untuk mendengar kata-kata indah ini: Terima kasih.