Diane mendengar orang lain dalam kumpulannya yang meminta doa untuk ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan mereka yang menghadapi cabaran atau menghidapi penyakit. Dia mempunyai seorang ahli keluarga yang telah terjebak dalam ketagihan selama bertahun-tahun. Tetapi Diane berdiam diri tentang permintaan doa ini. Dia berasa susah hati apabila melihat reaksi wajah orang lain, mendengar beberapa soalan atau nasihat yang menyusul setiap kali dia berkongsi masalahnya secara terbuka. Dia berasa bahawa ia lebih baik jika permintaan doa ini tidak disebutkan. Orang lain tidak dapat memahami bahawa orang yang dikasihinya boleh menjadi orang percaya kepada Yesus tetapi masih bergelut setiap hari.
Walaupun Diane tidak berkongsi permintaan doanya dengan kumpulan itu, dia meminta beberapa kawan yang boleh dipercayainya untuk berdoa bersamanya. Mereka bersama-sama meminta Tuhan untuk membebaskan ahli keluarga itu daripada belenggu ketagihan yang sangat nyata supaya dia dapat mengalami pembebasan dalam Kristus—dan Tuhan akan memberi Diane damai sejahtera dan kesabaran yang diperlukannya. Ketika dia berdoa, dia mendapat penghiburan dan kekuatan melalui hubungan dengan-Nya.
Ramai antara kita mempunyai doa-doa yang bersungguh-sungguh dan berterusan, tetapi doa-doa ini kelihatan tidak dijawab. Tetapi kita boleh yakin bahawa Tuhan mengambil berat tentang kita dan Dia mendengar semua permintaan kita. Dia menggesa kita supaya terus berjalan rapat dengan-Nya, “bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa” (Roma 12:12). Kita boleh bersandar kepada-Nya.