Semasa saya menjaga ibu saya dan tinggal bersamanya di sebuah pusat kanser, saya berkenalan dengan Laura, seorang penjaga lain yang juga tinggal di pusat dengan suaminya, Frank. Saya akan berbual-bual, ketawa, melepaskan perasaan, menangis, dan berdoa dengan Laura di kawasan ruang tetamu. Kami menikmati masa untuk menyokong satu sama lain semasa kami menjaga orang yang tersayang.
Pada suatu hari, saya ketinggalan bas percuma yang membawa penghuni pergi membeli barangan runcit. Laura menawarkan untuk memandu saya ke kedai pada petang itu. Air mata kesyukuran berlinangan di mata saya, maka saya menerima tawaran itu. “Terima kasih kerana seadanya anda,” saya berkata. Saya benar-benar menghargai dia disebabkan oleh keperibadiannya, bukan hanya apa yang dilakukannya untuk saya sebagai kawan.
Mazmur 100 menunjukkan satu penghargaan kepada Tuhan kerana siapanya Dia, bukan hanya disebabkan oleh perkara yang dilakukan-Nya. Pemazmur menjemput “penduduk dunia” (ayat 1) untuk “[menyembah] TUHAN dengan sukacita” (ayat 2), mengetahui dengan penuh keyakinan bahawa “TUHAN itu Allah” (ayat 3). Pencipta kita menjemput kita masuk ke hadirat-Nya untuk “bersyukurlah kepada-Nya dan berkatilah nama-Nya” (ayat 4). Ya, Tuhan tetap layak untuk menerima kesyukuran kita kerana “TUHAN baik, kasih-Nya untuk selama-lamanya, dan kesetiaan-Nya kekal turun-temurun, zaman-berzaman” (ayat 5).
Tuhan akan sentiasa menjadi Pencipta dan Penyokong alam semesta dan Bapa kita yang penuh kasih . Dia layak untuk menerima kesyukuran kita yang penuh sukacita.