Pada tahun 1936, penulis lagu, Billy Hill mengeluarkan satu lagu popular bertajuk “Kemuliaan Cinta” (The Glory of Love). Tidak lama kemudian, sebuah negara menyanyikan kegembiraan dalam melakukan sesuatu perkara walaupun perkara kecil kerana kasih sayang untuk satu sama lain. Lima puluh tahun kemudian, penulis lirik Peter Cetera menulis sebuah lagu yang lebih romantik dengan tajuk yang sama. Dia membayangkan dua orang yang hidup selama-lamanya dan memahami bahawa mereka bersama-sama melakukan semuanya—untuk kemuliaan cinta.
Wahyu, kitab terakhir dalam Alkitab, menerangkan sebuah lagu cinta baru yang akan dinyanyi oleh semua orang di langit dan bumi pada suatu hari kelak (Wahyu 5:9, 13). Bagaimanapun, muzik itu bermula dengan nada berkabung. Yohanes, pencerita kita, menangis kerana dia tidak melihat penyelesaian bagi semua perkara yang tidak betul di dunia ini (ayat 3-4). Tetapi perasaannya menjadi meriah dan muzik itu semakin lantang (ayat 12-13) apabila Yohanes menyedari kemuliaan sebenar dan kisah cinta. Tidak lama kemudian dia mendengar semua makhluk ciptaan memuji Singa daripada suku Yehuda yang berkuasa (ayat 5). Mereka memuji Yesus, iaitu Anak Domba, yang telah memenangi hati umat-Nya melalui pengorbanan-Nya yang penuh kasih, untuk menyelamatkan kita (ayat 13).
Dalam lirik lagu pujian yang paling mengharukan, kita boleh melihat sebab perbuatan baik yang biasa boleh disampaikan melalui sebuah lagu. Kemuliaan yang kita nyanyikan mencerminkan hati Tuhan kita. Kita menyanyi tentang-Nya kerana Dia memberi lagu kepada kita.