Apabila saya keluar dari hotel saya di Kampala, Uganda, seorang saudari yang datang untuk menjemput saya untuk menghadiri suatu seminar kami, memandang saya dengan satu senyuman terhibur. “Apakah yang begitu kelakar?” saya bertanya. Dia ketawa dan bertanya, “Adakah anda menyikat rambut anda? “ Sekarang adalah giliran saya untuk ketawa, kerana saya memang terlupa untuk menyikat rambut saya. Saya sememangnya telah melihat pantulan saya di depan cermin hotel. Kenapa saya tidak mengambil perhatian mengenai apa yang saya lihat?

Dalam analogi yang praktikal, Yakobus memberi kita satu dimensi yang berguna untuk menjadikan kajian kita tentang Alkitab lebih bermanfaat. Kita melihat wajah kita di depan cermin untuk memeriksa diri sekiranya terdapat apa-apa yang memerlukan pembetulan—rambut disikat, muka dicuci, baju dibutangkan dengan wajar. Seperti sebuah cermin, Alkitab membantu kita memeriksa perangai, sikap, pemikiran dan kelakuan kita (Yakobus 1:23-24). Ini membolehkan kita menyelaraskan hidup mengikut prinsip-prinsip yang telah dinyatakan Tuhan. Kita akan “mengekang” lidah kita (ayat 26) dan “menolong anak yatim piatu dan balu” (ayat 27). Kita akan memberi perhatian kepada pimpinan Roh Kudus Tuhan dalam kita dan menjaga diri “daripada dicemari kejahatan dunia” (ayat 27).

Apabila kita “meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia” dan mengamalkannya dalam hidup kita, kita akan diberkati dalam apa yang kita lakukan (ayat 25). Apabila kita melihat cermin Alkitab, kita boleh menerima “firman yang disemaikan-Nya ke dalam hati (kita) dengan rendah hati” (ayat 21).