Di langit di atas rumah kami, tiga buah jet pejuang menembusi langit dengan berdesing—berterbangan dalam pembentukan yang begitu rapat bersama-sama sehingga mereka kelihatan seperti satu. “Wau,” saya berkata kepada suami saya, Dan. “Hebatnya,” dia bersetuju. Kami tinggal berhampiran dengan sebuah pangkalan Tentera Udara dan agak biasanya bagi kita untuk melihat pemandangan sebegitu.

Namun, setiap kali jet-jet ini terbang di atas, saya ada soalan yang sama: bagaimanakah mereka boleh terbang begitu rapat bersama-sama dalam keadaan terkawal? Saya mendapati satu sebab yang jelas, iaitu kerendahan hati. Dengan percaya bahawa ketua juruterbang sedang bergerak pada kelajuan dan trajektori (laluan melengkung) yang tepat, juruterbang-juruterbang yang lain melepaskan apa-apa fikiran untuk menukar arah atau mempersoalkan haluan ketua mereka, maka mereka boleh membentuk formasi dan mengikut dengan rapat. Hasilnya? Satu pasukan yang lebih kuat.

Hal ini adalah sama bagi pengikut Yesus. Dia berkata, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan mengikut-Ku” (Lukas 9:23).

Laluan-Nya dilumuri penyangkalan diri dan penderitaan, yang sukar diikut. Tetapi untuk menjadi pengikut-Nya yang berkesan, kita juga dijemput untuk mengetepikan keinginan yang mementingkan diri sendiri dan memikul beban rohani setiap hari, contohnya melayani orang lain terlebih dahulu dan bukan diri kita, ketika kita mengikut Dia dengan rapat.

Perjalanan yang rendah diri dan rapat dengan Tuhan sememangnya satu pemandangan yang istimewa. Dengan mengikut Dia dan pimpinan-Nya dengan rapat, kita menjadi satu dengan Kristus. Maka orang lain tidak akan melihat kita, sebaliknya mereka akan melihat Dia. Satu perkataan sahaja digunakan untuk menjelaskan pemandangan seperti ini: “Wau!”