Hampir setiap kali malaikat muncul dalam Alkitab, perkataan pertama yang dikatakannya adalah “Jangan takut!” Tidak hairanlah. Apabila kuasa yang luar biasa berhubung dengan planet Bumi, keadaan seperti ini biasanya menyebabkan manusia takut. Tetapi Lukas menyatakan bahawa Tuhan membuat penampilan dalam satu bentuk yang tidak menakutkan. Tuhan menggunakan cara yang kita tidak perlu takut melalui Yesus, yang dilahirkan di kandang binatang dan diletakkan di dalam palung. Apakah yang menakutkan tentang seorang bayi yang baru dilahirkan?
Di bumi, Yesus adalah Tuhan dan manusia. Sebagai Tuhan, Dia boleh melakukan mukjizat, mengampuni dosa, menakluki kematian, dan meramalkan masa depan. Tetapi bagi orang Yahudi yang telah biasa dengan imej Tuhan sebagai awan terang atau tiang api, Yesus juga menyebabkan banyak kekeliruan. Bagaimanakah seorang bayi di Betlehem, anak lelaki seorang tukang kayu, seorang lelaki dari Nasaret, menjadi Mesias daripada Tuhan?
Mengapakah Tuhan mengambil bentuk manusia? Kisah tentang Yesus yang berusia dua belas tahun ketika Dia berdebat dengan rabi di Bait Tuhan memberikan satu petunjuk. “Semua orang yang mendengar Yesus kagum akan pengertian dan jawapan-Nya,” Lukas memberitahu kita (2:47). Untuk kali pertama, orang biasa boleh mengadakan perbualan dengan Tuhan yang boleh dilihat.
Yesus boleh bercakap dengan sesiapa sahaja—ibubapa-Nya, seorang rabi, seorang janda yang miskin—tanpa perlu mengatakan terlebih dahulu, “Jangan takut!” Melalui Yesus, Tuhan mendekati orang.