Buku penulisan Ann Voskamp, One Thousand Gifts, menggalakkan pembaca menyelidiki kehidupan mereka setiap hari mengenai apa yang telah dilakukan Tuhan untuk mereka. Dalam bukunya, dia mencatatkan kemurahan hati Tuhan yang berkelimpahan dalam kurnia besar mahupun yang kecil setiap hari. Misalnya keindahan kecil daripada buih berwarna-warni dalam sinki pinggan, atau penyelamatan yang tiada tolok bandingnya bagi orang berdosa seperti dirinya (dan kesemua kita!). Ann berpendapat bahawa kesyukuran adalah kunci untuk melihat Tuhan walaupun pada waktu-waktu kehidupan yang paling susah.
Ayub terkenal dengan kehidupan seperti detik-detik yang “susah” ini. Sesungguhnya, dia mengalami kehilangan yang mendalam dan banyak. Hanya beberapa ketika selepas kehilangan semua ternakannya, dia mendengar khabar tentang kematian serentak kesemua sepuluh orang anaknya. Kesedihan Ayub yang mendalam telah dibuktikan dalam reaksinya: dia “mengoyakkan jubahnya, dan mencukur rambut kepalanya” (1:20). Kata-katanya pada masa kesakitan itu membuat saya mengingat bahawa Ayub tahu untuk bersyukur, kerana dia mengakui bahawa segala kehilangannya diberikan oleh Tuhan pada asalnya (ayat 21). Bagaimanakah dia boleh menyembah Tuhan di tengah-tengah kesedihan yang begitu melumpuhkan?
Amalan kesyukuran harian tidak dapat memadamkan kesakitan dahsyat yang kita rasakan pada musim-musim kehilangan. Ayub mempersoalkan dan bergelut melalui kesedihannya seperti yang dihuraikan seterusnya dalam buku itu. Tetapi dengan mengenal kebaikan Tuhan kepada kita—walaupun dengan cara yang paling kecil—boleh mempersiapkan kita berlutut dan menyembah di hadapan Tuhan Yang Maha Kuasa kita, walaupun pada saat kehidupan kita yang paling gelap di dunia ini.