Pada musim sejuk, saya sering bangun dan mendapati satu kejutan yang indah akan dunia yang diselimuti kedamaian dan ketenangan daripada salji awal pagi. Ia tidak kuat seperti ribut petir musim bunga yang menyatakan kedatangannya pada waktu malam, salji datang secara perlahan-lahan.
Dalam “Lagu Salji Musim Sejuk” (Winter Snow Song), Audrey Assad bernyanyi bahawa Yesus boleh datang ke bumi dengan penuh kuasa seperti taufan, tetapi sebaliknya Dia datang secara senyap-senyap dan perlahan-lahan seperti salji yang jatuh dengan lembut pada waktu malam di luar tingkap saya.
Ketibaan Yesus adalah satu kejutan yang senyap kepada orang ramai. Dia bukan dilahirkan di dalam sebuah istana, sebaliknya Dia dilahirkan di tempat yang tidak mungkin, sebuah kediaman yang kecil di luar Betlehem. Dia tidur di dalam satu-satunya katil yang ada—palung (Lukas 2:7). Kelahiran Yesus tidak disambut oleh kerabat diraja dan pegawai-pegawai kerajaan, Dia disambut oleh gembala-gembala bawahan (ayat 15-16). Malah Dia tidak memiliki kekayaan, ibu bapa Yesus itu hanya mampu mempersembahkan dua ekor burung yang tidak mahal sebagai korban apabila mereka menyerahkan Dia di Bait Tuhan (ayat 24).
Cara Yesus memasuki dunia yang tidak angkuh ini telah dinubuatkan oleh nabi Yesaya, bahawa Penyelamat yang akan datang “tidak akan berteriak, menyaringkan suara” (Yesaya 42:2) atau mematahkan sehelai rumput mensiang yang terkulai atau memadamkan sumbu yang malap (ayat 3). Sebaliknya Dia datang dengan lemah lembut untuk mendekatkan kita kepada Diri-Nya dengan tawaran-Nya untuk berdamai dengan Tuhan—kedamaian yang masih tersedia kepada sesiapa yang mempercayai cerita yang tidak dijangka tentang seorang Penyelamat yang dilahirkan di dalam sebuah palung.