Dalam bukunya, Christmas Every Day (Krismas Setiap Hari), William Dean Howells menceritakan hasrat seorang gadis kecil yang dipenuhi. Untuk suatu tahun yang panjang dan buruk, setiap hari sesungguhnya Krismas. Namun apabila tiba hari ketiga, suasana Krismas yang gembira telah mula menghilang. Tidak lama kemudian, semua orang mula jemu dengan gula-gula. Ayam belanda menjadi terhad dan dijual pada harga yang terlalu tinggi. Hadiah-hadiah tidak lagi diterima dengan kesyukuran ketika mereka dilonggokkan di merata-rata tempat. Orang menengking satu sama lain dengan marah.
Syukurnya, cerita Howell hanyalah sebuah kisah sindiran. Tetapi betapa luar biasanya keberkatan ini bahawa sambutan Krismas tidak membosankan kita walaupun pada hakikatnya kita melihat Dia dalam seluruh Alkitab.
Setelah Yesus diangkat kepada Bapa-Nya, rasul Petrus menyatakan kepada orang ramai di Rumah Tuhan di Yerusalem, bahawa Yesus ialah orang yang dinubuatkan Musa apabila dia berkata, “Tuhan Allah akan membangkitkan untukmu seorang Nabi sepertiku” (Kisah Para Rasul 3:22; Ulangan 18:18). Janji Tuhan kepada Abraham, “Melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati,” benar-benar merujuk kepada Yesus (Kisah Para Rasul 3:25; Kejadian 22:18). Petrus mencatat, “semua nabi, daripada Samuel dan selepasnya, semua yang telah bersuara, juga telah bernubuat tentang zaman ini”—kedatangan Mesias (Kisah Para Rasul 3:24).
Kita boleh terus menghidupkan semangat Krismas selepas perayaan tersebut berakhir. Dengan melihat Kristus dalam seluruh kisah Alkitab, kita boleh menghayati bahawa Krismas bukan setakat suatu hari biasa seperti yang lain.