Sejak tahun 2006, sekumpulan orang telah meraikan satu acara yang luar biasa apabila menjelang Tahun Baru. Ia dipanggil Good Riddance Day [Hari Pelupusan Kenangan Buruk]. Berdasarkan tradisi orang Amerika Latin, orang menuliskan kenangan yang tidak elok, memalukan dan isu-isu yang tidak baik daripada tahun lepas dan membuangkannya ke dalam mesin pencincang kertas. Atau ada sesetengah orang yang menukul barangan yang ingin dilupuskan.
Penulis Mazmur 103 bukan sahaja mencadangkan bahawa orang menghapuskan kenangan yang tidak elok. Dia mengingatkan kita bahawa Tuhan menghapuskan dosa-dosa kita. Dalam usahanya untuk menunjukkan kasih Tuhan yang besar bagi umat-Nya, pemazmur menggunakan gambaran perkataan. Dia menggambarkan kebesaran kasih Tuhan dengan jarak di antara langit dan bumi (ayat 11). Kemudian pemazmur berbincang tentang pengampunan-Nya dengan istilah ruang. Sebagaimana jauhnya matahari terbit dari tempat matahari terbenam, begitulah jauhnya Tuhan telah menghapuskan dosa-dosa umat-Nya daripada mereka (ayat 12). Pemazmur mahu umat Tuhan mengetahui bahawa kasih dan pengampunan-Nya adalah sempurna dan tidak terbatas. Tuhan membebaskan umat-Nya daripada kuasa keingkaran mereka dengan mengampuni mereka sepenuhnya.
Berita baik! Kita tidak perlu menunggu sehingga Tahun Baru untuk mengalami Hari Pelupusan Kenangan Buruk. Melalui iman kita dalam Yesus, apabila kita mengakui dan berpaling daripada dosa-dosa kita, Dia menghapuskan dan membuangkan semua pelanggaran kita ke dalam laut yang mendalam. Hari ini boleh menjadi Hari Pelupusan Kenangan Buruk!