Apabila saya dikerah masuk tentera pada usia 18 tahun, seperti semua pemuda lelaki di Singapura, saya berdoa dengan nekad untuk satu jawatan mudah. Mungkin seorang kerani atau pemandu. Oleh sebab saya kurang tegap, saya berharap akan terlepas daripada latihan pertempuran yang sukar. Tetapi pada satu petang ketika saya membaca Alkitab, satu ayat meloncat daripada muka surat: “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu … “ (2 Korintus 12:9).

Hati saya berasa kecewa—tetapi ia tidak seharusnya. Tuhan telah menjawab doa-doa saya. Walaupun saya terima tugas yang sukar, Dia akan membekalkan bantuan-Nya kepada saya.

Akhirnya saya ditugaskan sebagai infantri bersenjata, saya harus melakukan perkara-perkara yang saya tidak selalu nikmati. Apabila melihat kembali, saya bersyukur kerana Tuhan tidak memberikan kepada saya apa yang saya mahukan. Latihan dan pengalaman itu menguatkan saya secara fizikal dan mental serta memberikan saya keyakinan untuk memasuki kedewasaan.

Dalam Yesaya 25:1-5, setelah meramalkan hukuman Israel dan pembebasan berikutnya daripada musuh-musuhnya, nabi memuji Tuhan kerana rancangan-rancangan-Nya. Yesaya mencatat, segala “keajaiban” ini telah dirancang “sejak dahulukala” (ayat 1), namun ini termasuk waktu-waktu yang sukar.

Kesukaran ini boleh merujuk kepada mendengar Tuhan berkata tidak, terutamanya apabila kita mendoakan sesuatu yang baik—seperti pembebasan seseorang daripada suatu krisis. Itulah waktu kita perlu berpegang pada kebenaran rancangan Tuhan yang baik. Kita mungkin tidak memahami sebabnya, tetapi kita boleh terus mempercayai kasih, kebaikan, dan kesetiaan Tuhan.