Setiap minggu semasa saya menunggu di stesen kereta api, fikiran negatif menghimpit minda saya seperti penumpang lain yang berbaris untuk menaiki kereta api—tekanan disebabkan oleh hutang, kata-kata kesat yang pernah saya dengari, perasaan tidak berdaya yang disebabkan oleh ketidakadilan yang baru berlaku kepada ahli keluarga saya baru-baru ini. Ketika kereta api tiba, saya berada dalam keadaan yang gusar.
Sewaktu masuk ke dalam kereta api, fikiran lain muncul dalam minda saya: tulislah nota kepada Tuhan dan serahkan segala ratapan saya kepada-Nya. Tidak lama selepas saya selesai meluahkan segala rungutan dalam jurnal, saya mengambil telefon dan memainkan lagu-lagu rohani. Sebelum saya sempat menyedarinya, keadaan saya yang tidak baik telah berubah sepenuhnya.
Saya menyedari bahawa saya sedang mengikut cara yang dilakukan oleh penulis Mazmur 94. Mula-mula pemazmur meluahkan rungutannya: “Engkaulah hakim semua orang; bangkitlah dan balaslah orang sombong, setimpal dengan perbuatan mereka … Siapakah yang membela aku terhadap orang zalim? Siapakah yang memihak aku menentang orang jahat?” (Mazmur 94:2,16). Dia tidak menahan apa-apa ketika dia bercakap dengan Tuhan tentang ketidakadilan yang dilakukan ke atas para balu dan anak yatim piatu. Setelah membawa ratapannya kepada Tuhan, mazmur itu berubah kepada bentuk pujian: “Tetapi TUHAN membela aku; Allahku melindungi aku” (ayat 22).
Tuhan mengajak kita membawa ratapan kita kepada-Nya. Dia boleh mengubah ketakutan, kesedihan dan ketidakupayaan kita kepada pujian.