Saya selalu berasa terkagum apabila memikirkan bagaimana kesejahteraan itu bekerja— penuh kuasa dan melebihi pengertian manusia (Filipi 4:7)—entah bagaimana ia boleh memenuhi hati kita meskipun kita sedang berhadapan dengan kesedihan yang amat dalam. Saya telah mengalaminya semasa upacara pengebumian ayah saya. Sewaktu para kenalan yang datang dalam barisan panjang melewati kami dengan hati yang simpati dan menyampaikan ucapan takziah, saya berasa lega apabila melihat seorang rakan baik saya sejak sekolah tinggi. Tanpa sepatah perkataan, dia hanya memeluk saya dengan erat. Pelukannya yang senyap itu telah memenuhi hati saya dengan kedamaian buat pertama kalinya pada hari yang sukar itu. Hal itu adalah satu peringatan yang kuat bahawa saya tidak bersendirian.
Seperti yang dijelaskan oleh Daud dalam Mazmur 16, kedamaian dan kegembiraan yang dibawa oleh Tuhan ke dalam kehidupan kita, bukannya meminta kita menahan segala penderitaan dengan sangat tabah pada masa-masa yang sukar; tetapi ketika kita berlindung dalam kebaikan Tuhan, kita akan mengalami kedamaian dan kegembiraan yang dianugerahi-Nya (ayat 1-2).
Kita boleh sahaja bertindak balas terhadap kesakitan yang dibawa oleh kematian dengan mengalihkan perhatian kita. Kita mungkin berfikir bahawa dengan berpaling kepada “dewa-dewa” yang lain, kita akan dapat menahan kesakitan tersebut. Namun, lambat-laun kita akan mendapati bahawa usaha untuk mengelakkan kesakitan itu hanya akan mengakibatkan keadaan yang lebih parah (ayat 4).
Atau kita boleh berpaling kepada Tuhan, dan tetap percaya bahawa walaupun kita tidak mengerti tentang kehidupan yang diberikan-Nya kepada kita ia adalah masih indah dan sempurna—walaupun dalam keadaan sukar (ayat 6-8). Kita juga boleh menyerahkan diri kita ke dalam tangan-Nya yang penuh kasih dan lembut yang akan membawa kita melewati kesakitan dan memasuki kedamaian dan kegembiraan. Inilah kebenaran, kematian sekalipun tidak dapat membinasakannya (ayat 11).