Apabila rakan-rakan saya tinggal di Moldova, salah sebuah negara termiskin di Eropah, mereka amat terharu akan sambutan hangat yang diterima di sana, terutamanya daripada orang Kristian lain. Ada suatu kali, mereka membawakan beberapa helai pakaian dan makanan kepada sepasang suami isteri di gereja mereka yang sangat miskin, namun mereka juga menjaga beberapa orang anak angkat. Pasangan suami isteri itu melayani rakan-rakan saya seperti tetamu kehormat, memberi mereka teh yang sedap dan menghidangkan makanan walaupun rakan-rakan saya enggan. Ketika rakan-rakan saya pulang dengan buah tangan seperti tembikai, buah-buahan dan sayur-sayuran, mereka kagum dengan layanan baik yang dialami.
Orang percaya ini betul-betul memberikan layanan sebagaimana yang diperintahkan Tuhan ke atas umat-Nya, Israel. Dia mengarahkan mereka, “Hormatilah TUHAN dan laksanakanlah segala perintah-Nya. Kasihilah Dia dan mengabdilah kepada-Nya dengan segenap hati” (Ulangan 10:12). Bagaimanakah orang Israel mempraktikkannya? Jawapannya diberikan dalam beberapa ayat kemudian: “kamu harus mengasihi orang asing tersebut kerana kamu sendiri pernah menjadi orang asing di Mesir” (ayat 19). Dengan menyambut orang asing, mereka sebenarnya melayani dan memuliakan Tuhan; dan dengan mempraktikkan kasih dan kepedulian, mereka mempamerkan kepercayaan mereka kepada Tuhan.
Keadaan kita mungkin berbeza daripada orang Moldova atau bangsa Israel, tetapi kita juga boleh mempraktikkan kasih kita untuk Tuhan melalui layanan kita terhadap orang lain. Sama ada dengan membuka rumah kita atau memberikan senyuman kepada orang yang kita jumpa, kita dapat mewujudkan kepedulian dan layanan baik Tuhan di dunia yang penuh dengan orang yang kesepian dan pilu.