Sebelum jurutera British Edward Nairne mencipta pemadam, dia menggunakan sekeping roti. Kulit roti digunakan untuk memadam tanda-tanda di atas kertas pada tahun 1770-an. Nairne mendapatkan penemuan ini ketika dia terambil lateks getah dan mendapati bahawa ia dapat memadamkan kesilapannya, malah sisa daripada lateks getah tersebut mudah disapukan dengan tangan.
Demikian juga dengan kita, kesilapan hidup kita yang paling teruk boleh dipadamkan. Tuhan—iaitu Roti yang Memberikan Hidup—yang membersihkannya dengan hidup-Nya sendiri. Dia berjanji untuk tidak mengingat dosa kita. “Namun Aku ini Allah yang mengampunkan dosa kamu, dan Aku berbuat demikian kerana begitulah sifat-Ku. Aku tidak akan mengingat dosa kamu” (Yesaya 43:25).
Ini nampaknya satu pemulihan yang amat luar biasa—dan tidak layak diterima. Kebanyakan orang sukar untuk mempercayai bahawa dosa masa lampau boleh dipadamkan oleh Tuhan seperti “kabus pagi.” Adakah Tuhan Yang Maha Tahu, melupakannya dengan begitu mudah?”
Itulah yang dilakukan Tuhan ketika kita menerima Yesus sebagai Penyelamat kita. Bapa syurgawi memutuskan untuk melupakan dosa-dosa kita dan “tidak akan mengingat dosa” kita, Dia membebaskan kita supaya kita terus melangkah. Kita tidak lagi dikecewakan oleh kesalahan lepas, kita bebas daripada serpihan kotoran dan telah dibersihkan untuk melayani Tuhan, sekarang dan selamanya.
Ya, akibat daripada dosa kita mungkin kekal. Namun Tuhan menyapu dosa itu sendiri, dan mengundang kita kembali kepada-Nya untuk memiliki hidup baru yang bersih. Tiada cara yang lebih baik untuk menghapuskannya.