Ah biar betul! Saya sudah pun lambat. Tetapi papan tanda di hadapan yang bertulis “Lencongan Di Hadapan” pula mengarahkan saya supaya mengubah laluan saya. Trafik semakin perlahan.

Mahu sahaja saya tertawa: Saya menjangkakan perkara berjalan mengikut masa saya yang ideal; tetapi saya tidak menjangkakan pembinaan jalan raya sedang dijalankan.

Dari segi kerohanian, hanya segelintir orang merancang untuk menghadapi krisis yang melambatkan kita atau menukarkan arah kehidupan kita. Namun, jika saya memikirkannya, saya boleh mengingat beberapa keadaan yang banyak kali mengubah arah kehidupan saya—dalam cara yang hebat dan biasa. Penangguhan berlaku.

Salomo tidak pernah melihat papan tanda yang berkata, “Lencongan Di Hadapan.” Tetapi dalam Amsal 16, dia membandingkan rancangan kita dengan bimbingan Tuhan. “Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang memberikan keputusan.” Salomo menyatakan semula idea itu dalam ayat 9, yang dia menambah bahawa walaupun kita “membuat rancangan, tetapi Allah yang menentukan jalan hidup manusia.” Dengan kata lain, kita tahu apa yang sepatutnya berlaku, tetapi kadangkala Tuhan ada jalan lain untuk kita.

Mengapakah saya tidak menyedari kebenaran rohani ini? Ini kerana saya membuat perancangan sendiri, bahkan kadangkala terlupa bertanya kepada Tuhan terlebih dahulu tentang rancangan-Nya. Saya berasa kecewa apabila berlakunya gangguan.

Namun kita boleh melangkaui segala kekhuatiran ini, serta semakin bertumbuh dengan mempercayai bahawa Tuhan akan membimbing kita langkah demi langkah, seperti yang diajar oleh Salomo apabila kita mencari-Nya dalam doa, menunggu bimbingan-Nya, dan sesungguhnya membenarkan Dia terus mengarahkan kita semula.