Saya dan seorang sahabat pergi berjalan-jalan bersama cucu-cucunya. Ketika dia menolak kereta sorong cucunya, dia berkata bahawa langkahnya sia-sia sahaja, kerana peralatan yang dipakainya pada pergelangan tangan tidak dapat mengesan aktivitinya jika dia tidak mengayunkan tangan ketika berjalan. Saya berkata kepadanya bahawa langkah-langkahnya juga masih bermanfaat bagi kesihatannya. Sambil tertawa, dia berkata “Ya. Tetapi saya betul-betul mahu akan pingat emas elektronik itu!”

Saya memahami perasaannya! Melakukan sesuatu perkara tanpa hasil yang serta-merta adalah mengecewakan. Tetapi ganjaran tidak selalunya akan kelihatan dengan serta-merta.

Jika begitu, adalah mudah untuk kita merasakan bahawa perbuatan baik yang kita lakukan adalah tidak berguna, walaupun menolong seorang sahabat atau berbuat baik kepada seorang yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, Paulus menjelaskan kepada jemaah di Galatia, bahawa “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya” (Galatia 6:7). Tetapi “janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik … kelak kita akan menuai hasilnya” (ayat 9). Melakukan perbuatan baik bukanlah cara untuk mendapatkan penyelamatan, dan teks yang tersebut itu tidak menyatakan sama ada kita akan menuai sekarang atau di syurga nanti, tetapi kita boleh yakin bahawa kita akan “menuai hasilnya” (ayat 9).

Berbuat baik adalah susah, terutamanya apabila kita tidak melihat atau ketahui apa itu “hasilnya”. Tetapi sebagaimana sahabat saya yang masih mendapatkan manfaat fizikal daripada berjalan, ia berbaloi untuk terus melakukan perkara baik kerana berkat itu akan datang!