Dengan menggunakan kanta pembesar dan penyepit-penyepit kecil, Phillipe, seorang pembuat jam tangan yang berbangsa Swiss secara teliti menjelaskan kepada saya cara dia memisahkan, membersihkan dan memasang semula bahagian-bahagian kecil dalam jam tangan mekanikal. Ketika melihat semua kepingan yang rumit, Phillipe menunjukkan kepada saya komponen yang penting dalam jam tangan, iaitu spring utama jam. Spring utama jam merupakan komponen yang menggerakkan gear supaya jam dapat menetapkan masa. Tanpanya, jam yang direka dengan terhebat pun tidak akan berfungsi.
Dalam satu petikan Perjanjian Baru yang indah dan ditemukan dalam buku Ibrani, penulis memuji Yesus kerana hanya melalui-Nya, Tuhan mencipta langit dan bumi. Seperti sebuah jam tangan yang rumit, setiap perincian alam semesta kita dicipta oleh Yesus (Ibrani 1:2). Daripada keluasan sistem suria hingga keunikan cap jari kita, semua benda dicipta oleh-Nya.
Tetapi Yesus bukan sahaja Pencipta kita, seperti spring utama sebuah jam, Yesus adalah penting bagi fungsi dan kehidupan ciptaan. Hadirat-Nya terus “memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa” (ayat 3). Semua yang telah dicipta-Nya berfungsi bersama-sama dalam keadaan kompleks yang menakjubkan.
Ketika anda berpeluang untuk mengalami keindahan ciptaan pada hari ini, ingatlah bahawa “Kerana Dia juga, segala sesuatu mempunyai tempat yang bersesuaian” (Kolose 1:17). Semoga kesedaran tentang peranan utama Yesus dalam mencipta dan memelihara alam semesta menghasilkan hati yang bersukacita dan respons dalam bentuk pujian kerana kita mengakui pembekalan-Nya yang berterusan bagi kita.
ILHAM
Surat Perjanjian Baru kepada orang Ibrani menggesa para pembaca abad pertama untuk melihat para nabi, undang-undang, dan ibadat sebagai pengenalan tentang Seseorang yang jauh lebih berkuasa (1:1-4). Menurut pengarang surat yang tidak diketahui, Anak sendiri Tuhan (ayat 5-14) telah menderita dan mengalami maut bagi semua manusia (2:9, TB) untuk membina hubungan dengan Tuhan yang telah menggantikan undang-undang dan perjanjian Musa yang usang (3:1-6, 8:13). Melalui setiap perincian, surat itu menjelaskan bagaimana Yesus berkuasa atas hari Sabat, imam besar, pengorbanan, dan Rumah Tuhan yang membayangkan Dia.Atas sebab-sebab ini, tiga belas fasal dalam kitab Ibrani menggesa para pembaca supaya tidak berserah kepada ketakutan, gangguan, atau kekecewaan (3:8). Mesej itu jelas: jangan berhenti mempercayai (10:19-11:40); jangan berhenti mengasihi (10:24-25; 13:1-3); jangan berhenti mengikut dan bergantung kepada Gembala yang Baik dan Hebat (13:20) yang menjadi alasan yang terbaik bagi kita untuk percaya bahawa perkara yang terbaik sedang menantikan kita (9:28).