“Siapakah nama anda?” tanya Arman, seorang pelajar dari Iran. Selepas memberitahunya bahawa nama saya ialah Estera, wajahnya kelihatan riang sambil berkata, “Kita mempunyai nama yang sama dalam bahasa Farsi, iaitu Setare!” Hal itu telah menujukan satu perbualan yang menarik. Saya memberitahunya bahawa saya dinamakan menurut satu perwatakan dalam Alkitab, “Ester,” seorang permaisuri Yahudi di Persia (sekarang dipanggil Iran). Bermula dengan ceritanya, saya berkongsi berita baik tentang Yesus. Selepas perbualan itu, Arman mula menghadiri pengkajian Alkitab mingguan untuk belajar lebih banyak tentang Kristus.
Filipus, salah seorang pengikut Yesus, dipimpin oleh Roh Kudus untuk bertanya soalan yang memulakan perbualan dengan seorang pegawai Etiopia yang sedang berada dalam perjalanan dalam kereta kudanya: “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” (Kisah Rasul-Rasul 8:30). Orang Etiopia itu sedang membaca petikan daripada buku Yesaya dan mencari pengertian rohani. Maka soalan Filipus datang pada masa yang tepat. Dia menjemput Filipus duduk bersamanya dan dengan rendah hati mendengarkan penjelasan Filipus. Filipus mengambil peluang keemasan itu, “melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus (ayat 35).
Seperti Filipus, kita juga ada berita baik untuk disampaikan. Marilah kita merebut peluang setiap hari yang kita ada di tempat kerja, di kedai runcit, dan di kawasan kejiranan kita. Semoga kita mengizinkan Roh Kudus memimpin langkah kita dan memberikan kita kata-kata untuk berkongsi harapan dan sukacita kita dalam Yesus.