Mungkin detik yang paling mengejutkan dan tidak masuk akal telah berlaku pada Olimpik Musim Sejuk 2018, apabila juara dunia bagi acara meluncur papan salji dari Republik Czech yang bernama Ester Ledecka telah memenangi acara sukan yang sangat berbeza: ski! Dia merangkul pingat emas walaupun mula-mula dia berada pada kedudukan yang ke-26—suatu pencapaian yang dipercayai mustahil.

Sungguh menakjubkan, Ledecka layak untuk berlumba dalam acara super-G—acara yang menggabungkan ski turun bukit sambil mengelakkan halangan. Selepas dia menang dengan selisih masa 0.1 saat sahaja dengan papan luncur yang dipinjamkan, dia juga berasa terkejut seperti pihak media dan pesaing yang lain, yang menyangka bahawa pemenang ialah salah seorang peluncur yang hebat.

Itulah cara dunia bekerja. Kita mengandaikan bahawa pemenang akan terus menang sementara yang lain akan kalah. Para pengikut Yesus amat terkejut apabila mendengar Dia berkata, “Ketahuilah, susah sekali bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah” (Matius 19:23). Yesus menterbalikkan segala sesuatu. Bagaimanakah mungkin menjadi seorang yang kaya (pemenang) itu menjadi halangan? Secara nyata, jika kita percaya kepada apa yang kita miliki (apa yang boleh kita lakukan, siapakah diri kita), maka kita bukan sahaja sukar, malahan mustahil untuk percaya kepada Tuhan.

Pemerintahan Tuhan tidak memainkan peranannya menurut peraturan manusia. “Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu” (ayat 30). Baik anda adalah yang pertama mahupun yang terakhir, apa pun yang kita terima adalah disebabkan oleh rahmat Tuhan yang kita tidak layak.