Hae Woo (bukan nama sebenar) dipenjarakan di kem tahanan buruh di Korea Utara kerana melepasi sempadan ke China. Siang dan malam merupakan satu penyeksaan, katanya, dengan berhadapan dengan pegawai yang kejam, kerja yang berat, dan kekurangan tidur disebabkan oleh lantai yang sejuk seperti ais, serta terdapat tikus dan kutu. Tetapi Tuhan menolongnya setiap hari, Dia juga menunjukkan kepadanya untuk berkawan dengan banduan lain dan berkongsi imannya.
Selepas dia dibebaskan dari kem tahanan itu dan hidup di Korea Selatan, Woo merenungkan kehidupannya sewaktu berada di penjara, sambil mengatakan bahawa Mazmur 23 merumuskan pengalamannya. Walaupun dia terperangkap dalam lembah yang gelap, Yesus tetap menjadi Gembala yang memberikannya kedamaian: “Walaupun saya merasakan bahawa ia adalah benar-benar lembah dengan bayangan maut, namun saya tidak takut akan apa-apa. Tuhan menghibur saya setiap hari.” Dia mengalami kebaikan dan kasih Tuhan apabila Tuhan meyakinkannya bahawa dia adalah anak-Nya yang dikasihi. “Saya berada di tempat yang teruk, tetapi saya tahu … saya akan mengalami kebaikan dan kasih Tuhan.” Dia tahu bahawa dia akan tinggal dalam hadirat Tuhan selamanya.
Kita pasti berasa terdorong dengan kisah Woo. Walaupun keadaannya sangat sukar, dia merasakan kasih dan pimpinan Tuhan; dan Dia memelihara serta menghilangkan ketakutannya. Jika kita mengikut Yesus, Dia akan memimpin kita dengan lembut untuk melewati musim kesukaran kita. Kita tidak perlu takut kerana “rumah-Mu akan menjadi rumahku sepanjang hidupku” (23:6).
ILHAM
Di Timur Tengah purba, penggembalaan bukan hanya gambaran yang biasa tetapi juga mempunyai konotasi diraja, kadangkala ia digunakan secara kiasan untuk menggambarkan peranan para dewa dan raja dalam memimpin dan menjaga rakyat mereka. Oleh itu, Mazmur 23 bukan hanya satu gambaran yang intim mengenai satu hubungan dengan Tuhan yang kuat, tetapi pengisytiharan yang berani tentang pemazmur percaya dan berkomited untuk mengikut "TUHAN" (YHWH) sahaja, bukan raja-raja di dunia.Ungkapan "Engkau menyertai aku" (ayat 4), di tengah-tengah Mazmur 23 berulang-ulang kali mengulangi tema Alkitab, iaitu pertolongan dan bimbingan hadirat Tuhan bersama kita merupakan sebab kita tidak perlu takut (lihat Kejadian 15:1; Yosua 1:9). Apabila Yesus datang, Dia menekankan bahawa Dia adalah Gembala yang Baik, memenuhi janji Tuhan yang muktamad untuk menyertai kita (Matius 1:23; Yohanes 10:11).