Ketika isterinya menghidap penyakit yang tenat, Michael merindukan agar isterinya mengalami kesejahteraan sebagaimana dialaminya melalui hubungannya dengan Tuhan. Dia telah berkongsi imannya dengan isterinya, tetapi isterinya tidak berminat. Suatu hari semasa dia berada di sebuah kedai buku, tajuk buku ini telah menarik perhatiannya: God, Are You There? (Tuhan, Adakah Engkau Wujud?) Oleh sebab dia tidak pasti respons isterinya terhadap buku itu, maka dia berjalan keluar masuk kedai tersebut beberapa kali sebelum membeli buku itu. Dia berasa terkejut apabila isterinya menerima buku itu.
Buku itu telah menyentuhnya, dia pun mula membaca Alkitab. Dua minggu kemudian, isteri Michael meninggal dunia—dengan berdamai dengan Tuhan dan mempercayai bahawa Dia tidak akan meninggalkan atau membiarkannya.
Ketika Tuhan memanggil Musa memimpin umat-Nya keluar dari Mesir, Dia tidak menjanjikannya kuasa. Sebaliknya Dia menjanjikan hadirat-Nya: “Aku akan menyertai engkau” (Keluaran 3:12). Dalam kata-kata terakhir Yesus kepada para pengikut-Nya sebelum Dia disalibkan, Dia juga menjanjikan hadirat Tuhan yang kekal, yang mereka akan menerimanya melalui Roh Kudus (Yohanes 15:26).
Terdapat banyak perkara yang dapat diberikan Tuhan kepada kita untuk melalui cabaran hidup, seperti penghiburan secara fizikal, penyembuhan atau penyelesaian yang serta-merta kepada masalah kita. Ada kalanya Dia berbuat sedemikian. Tetapi pemberian terbaik yang telah diberikan ialah diri-Nya sendiri. Itulah penghiburan terbesar yang kita miliki: apa pun yang berlaku dalam hidup, Dia akan menyertai kita; Dia tidak akan meninggalkan atau membiarkan kita.
ILHAM
Jaminan hadirat Tuhan bersama Musa dan anak-anak Israel disampaikan dalam satu perkataan Ibrani yang digunakan empat kali dalam bacaan hari ini—hayah. Perkataan dalam ayat 12 diterjemahkan sebagai "Aku akan menyertai engkau." Perkataan yang agak rumit ini juga merupakan nama peribadi, perjanjian Tuhan Israel. Tiga kali perkataan diterjemahkan sebagai "AKU" dalam ayat 14. Apabila digunakan sebagai kata nama peribadi, "Yahweh" adalah sebutan yang boleh diterima. Dalam kebanyakan Alkitab versi bahasa Inggeris, perkataan "TUHAN" muncul dalam huruf besar, ia merupakan terjemahan hayah, yang menggambarkan kewujudan Tuhan yang abadi.Yohanes 1:14 mencatat bahawa firman Allah yang kekal "menjadi manusia dan tinggal antara kita." Dalam Injil Yohanes, Yesus mengenali diri-Nya sebagai Anak abadi melalui pernyataan "Aku adalah AKU", termasuk pernyataan yang berani, "Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada." (Yohanes 8:58).