Adakah matahari terbit di timur? Adakah langit itu berwarna biru? Adakah rasa laut itu masin? Adakah berat atom untuk kobalt ialah 58.9? Okey, anda hanya akan tahu menjawab soalan yang terakhir jika anda berminat dengan pelajaran sains, atau suka bermain kuiz. Namun soalan-soalan lain mempunyai jawapan yang mudah: Ya. Pada hakikatnya, soalan-soalan sebegitu biasanya berbaur dengan sedikit kata sindiran.

Jika kita tidak berhati-hati, telinga kita yang moden—dan kadang-kadang tegar ini—akan mendengar sedikit unsur sindiran dalam soalan yang diajukan Yesus kepada seorang lumpuh: “Mahukah kamu sembuh?” (Yohanes 5:6). Orang mungkin akan menjawab, “Kamu berguraukah? Saya sudah menunggu saat ini selama tiga puluh lapan tahun!” Namun tiada sindiran di sini, dan itu jauh daripada apa yang hendak disampaikan-Nya. Suara Yesus sentiasa penuh dengan belas kasihan, dan selalunya soalan yang diberikan-Nya adalah untuk kebaikan kita.

Yesus memang tahu orang lumpuh itu mahu disembuhkan. Dia juga tahu sudah cukup lama dia menantikan pertolongan daripada seseorang. Sebelum mukjizat ilahi ini berlaku, Yesus ingin memulihkan harapan orang lumpuh itu yang sudah menjadi pudar. Dia melakukan ini dengan menanyakan soalan yang jelas, kemudian memberikan jawapannya: “Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah” (ayat 8). Kita seumpama orang lumpuh itu, setiap kita pernah mengalami saat-saat harapan sudah menjadi pudar dalam hidup. Dia melihat kita, dan dengan belas kasihan menjemput kita percaya dan berharap sekali lagi, percaya kepada-Nya.