Seekor ubur-ubur yang jarang dilihat seolah-olah sedang menari dalam arus air, di lautan yang kira-kira sedalam 1200 meter berhampiran Baja, California. Badannya bersinar dengan warna pendarfluor biru, ungu dan merah jambu, amat jelas di sebalik latar belakang air yang berwarna hitam. Tentakel-tentakel melambai dengan lembut disertakan setiap gerakan kepalanya yang berbentuk loceng. Ketika saya menonton tayangan tentang ubur-ubur Halitrephes massi yang mengagumkan dalam video National Geographic, saya merenungkan rekaan Tuhan yang khusus bagi makhluk yang indah dan lembut itu. Dia juga mencipta 2,000 lagi jenis ubur-ubur lain yang telah ditemui oleh saintis sehingga Oktober 2017.
Walaupun kita mengakui Tuhan sebagai Pencipta, adakah kita cukup mengambil masa untuk benar-benar merenungkan kebenaran hebat yang dinyatakan dalam kitab pertama Alkitab? Tuhan kita yang hebat telah mencipta terang dan hidup ke dalam dunia beraneka yang kreatif, yang dibentuk-Nya dengan kuasa firman-Nya. Dia “menciptakan binatang raksasa laut, dan semua jenis makhluk yang hidup di dalam air” (Kejadian 1:21). Saintis telah menemukan hanya sebahagian kecil makhluk indah yang diciptakan Tuhan pada permulaan dunia ini.
Dengan menciptakan setiap manusia di dunia, ini memberi tujuan kepada setiap hari dalam hidup kita sebelum kita menghembuskan nafas pertama (Mazmur 139:13-16). Semasa kita mengagumi kreativiti Tuhan, kita juga boleh bersukacita atas banyak cara yang Dia mengurniai kita daya imaginasi dan daya cipta bersama-Nya untuk kemuliaan-Nya.