Pintu ambulans hampir ditutup—dan saya berada di dalamnya. Di luar, anak lelaki saya sedang menelefon ibunya. Dalam keadaan keliru disebabkan oleh hentakan, saya memanggil namanya. Menurut apa yang diingatnya pada masa itu, dengan nada perlahan saya berkata, “Beritahu mak kamu bahawa saya sangat mengasihi dia.”

Nampaknya saya ingat bahawa itulah saat yang saya mengucapkan selamat tinggal, dan saya mahu itu menjadi kata-kata perpisahan saya. Pada masa itu, ia perkara yang paling penting bagi saya.

Sewaktu Yesus menghadapi detik penderitaan yang paling gelap, Dia tidak hanya memberitahu kita bahawa Dia mengasihi kita; tetapi Dia menyatakannya dengan cara yang spesifik. Dia menunjukkannya kepada askar yang mengejek Dia dan baru sahaja memaku-Nya pada kayu salib; “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka” (Lukas 23:34). Dia memberikan harapan kepada penjenayah yang disalibkan bersama dengan Dia: “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus” (ayat 43). Ketika Dia hampir mati, Dia melihat ibu-Nya, “Puan, dia anak puan,” Dia berkata kepadanya, dan kepada kawan karib-Nya Yohanes, Yesus berkata, “Dia ibumu” (Yohanes 19:26-27). Kemudian, kata-kata kasih terakhir Yesus ialah kepercayaan-Nya kepada Bapa-Nya: “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” (Lukas 23:46).

Yesus dengan sengaja memilih kayu salib untuk menunjukkan ketaatan-Nya kepada Bapa—dan kedalaman kasih-Nya untuk kita. Sehingga saat-Nya yang terakhir, Dia menunjukkan kepada kita kasih-Nya yang tidak terhingga.