Ia merupakan hari yang gelap dan suram di sekeliling Yerusalem. Di atas bukit di luar tembok kota, seorang Lelaki yang telah menarik perhatian ramai orang untuk menjadi pengikut-Nya selama tiga tahun yang lalu, tergantung dan menderita pada kayu salib yang kasar secara terhina. Orang ramai meratap dalam kesedihan. Cahaya matahari tidak lagi menerangi langit pada petang itu. Penderitaan-Nya pada kayu salib berakhir apabila Dia berteriak dengan suara nyaring, “Sudah selesai” (Matius 27:50; Yohanes 19:30).

Pada ketika itu juga, suatu bunyi kedengaran dari Rumah Tuhan di seberang kota— bunyi kain yang koyak. Secara ajaib, ia berlaku tanpa campur tangan manusia, tirai yang besar dan tebal, yang memisahkan ruang luaran Rumah Tuhan daripada tempat maha suci telah terbelah dua dari atas ke bawah (Matius 27:51).

Tirai yang terkoyak itu merupakan simbol realiti bagi kebenaran kayu salib: jalan yang baru kepada Tuhan sekarang terbuka! Yesus, Tuhan yang menjadi manusia dan disalibkan telah mencurahkan darah-Nya sebagai korban terakhir—korban yang benar dan mencukupi (Ibrani 10:10)—yang membenarkan semua yang percaya kepada-Nya menikmati pengampunan dan menjalinkan hubungan dengan Tuhan (Roma 5:6-11).

Di tengah-tengah kegelapan Jumaat Agung yang pertama itu, kita menerima berita baik yang luar biasa—Yesus membuka jalan agar kita diselamatkan daripada dosa-dosa kita dan mengalami persekutuan dengan Tuhan selamanya (Ibrani 10:19-22). Terima kasih Tuhan, kerana mesej Engkau yang disampaikan melalui tirai yang koyak.