Di jalanan Los Angeles, seorang lelaki yang tidak memiliki tempat tinggal bergelut dengan masalah ketagihan, berjalan masuk ke organisasi The Midnight Mission dan meminta pertolongan. Di situlah bermulanya perjalanan Brian yang panjang ke arah penyembuhan.
Dalam proses itu, Brian menemukan semula minatnya terhadap muzik. Akhirnya dia mengikut Street Symphony—sekumpulan pemain muzik profesional yang memperhatikan orang yang tidak memiliki tempat tinggal. Mereka meminta Brian menyampaikan persembahan solo dengan lagu Messiah, gubahan Handel yang terkenal “The People That Walked in Darkness” (Orang yang berjalan dalam kegelapan). Dalam kata-kata yang ditulis oleh nabi Yesaya semasa zaman yang suram dalam sejarah Israel, dia bernyanyi, “Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang” (Yesaya 9:1). Seorang pengkritik muzik untuk majalah The New Yorker menuliskan bahawa Brian “menjadikan teks itu berbunyi seakan-akan berdasarkan kehidupannya sendiri.”
Penulis Injil Matius mengutip petikan yang sama. Setelah Yesus memanggil Matius meninggalkan kehidupan yang menipu orang Israel, iaitu orang sebangsanya, dia menjelaskan Yesus menggenapi nubuat Yesaya dengan memberikan penyelamatan “di seberang Sungai Yordan” ke “Galilea, negeri orang bukan Yahudi” (Matius 4:13-15).
Siapakah yang mungkin percaya bahawa salah seorang pemungut cukai yang berperangai samseng yang berkhidmat untuk Kaisar (lihat Matius 9:9), seorang penagih jalanan seperti Brian, atau orang seperti kita akan mendapat peluang untuk menunjukkan perbezaan di antara terang dan kegelapan dalam hidup kita?