Pada usia 54 tahun, saya menyertai maraton Milwaukee, Amerika Syarikat dengan dua sasaran utama—menghabiskan perlumbaan dalam masa lima jam. Mungkin rekod masa saya akan mencapai kecemerlangan jika kelajuan saya bagi bahagian kedua sepanjang 21 kilometer adalah sebaik 21 kilometer yang pertama. Tetapi perlumbaan itu melelahkan, dan “second wind” (tenaga yang wujud secara tiba-tiba) yang saya harapkan tidak pernah muncul. Pada waktu saya sampai ke garisan penamat, langkah saya yang mantap telah menjadi langkah yang sakit.

Perlumbaan bukan satu-satunya perkara yang memerlukan tenaga baru—perlumbaan hidup juga memerlukannya. Untuk bertahan, orang yang penat dan lelah memerlukan pertolongan Tuhan. Yesaya 40:27-31 menggabungkan puisi dan nubuat dengan indah sekali untuk menghibur serta memberi motivasi kepada orang yang memerlukan kekuatan untuk terus berjalan. Kata-kata untuk segala zaman memberikan peringatan kepada orang yang letih lesu dan putus asa bahawa Tuhan bukannya jauh atau tidak mempedulikan (ayat 27), keadaan kita tidak terlepas daripada pandangan-Nya. Kata-kata ini mengandung penghiburan dan keyakinan, serta mengingatkan kita tentang kuasa Tuhan yang tidak terhingga, dan pengetahuan-Nya yang tidak terselami (ayat 28).

Tenaga baru yang dihuraikan dalam ayat 29-31 memang tepat untuk kita—baik dalam usaha membangun dan membekalkan keperluan keluarga, bergelut dengan beban fizikal atau kewangan, atau berasa putus asa kerana ketegangan hubungan atau cabaran rohani. Inilah kekuatan yang menantikan mereka —melalui renungan terhadap firman Tuhan dan doa—menanti-nantikan Tuhan.