Saya tidak dapat percaya. Sebatang pen gel biru telah bersembunyi dalam tuala saya yang berwarna putih dan terselamat daripada mesin pencuci, tetapi pen itu meletup ketika berada di dalam mesin pengering. Tompokan-tompokan biru terpercik ke mana-mana. Tuala putih saya tidak dapat digunakan lagi. Tiada bahan pemutih yang dapat menghilangkan tompokan gelap itu.

Sementara saya dengan berat hati menyimpan tuala itu di tempat kain buruk, saya diingatkan tentang keluhan Yeremia, seorang nabi dalam Perjanjian Lama, ketika dia menjelaskan akibat daripada dosa yang merosakkan. Dengan menolak Tuhan dan berpaling kepada patung berhala (Yeremia 2:13), Yeremia mengisytiharkan bahawa bangsa Israel telah mengakibatkan noda kekal dalam hubungan mereka dengan Tuhan: “Walaupun engkau mandi dengan menggunakan banyak sabun yang kuat, namun Aku masih nampak noda kesalahanmu” (Yeremia 2:22). Mereka tiada kuasa untuk mengubah kerosakan yang telah dilakukan.

Ini adalah mustahil untuk menghapuskan noda dosa kita berdasarkan usaha sendiri. Tetapi Yesus telah melakukan apa yang kita tidak dapat lakukan. Dengan kuasa kematian dan kebangkitan-Nya, Dia “membersihkan kita (orang percaya) daripada segala dosa” (1 Yohanes 1:7).

Walaupun sukar untuk percaya, tetapi peganglah kebenaran yang indah ini: tiada kerosakan daripada dosa yang tidak mungkin dihapuskan sepenuhnya oleh Yesus. Tuhan mahu dan sedia untuk membersihkan segala akibat dosa bagi sesiapa sahaja yang rela untuk berpaling kepada-Nya (ayat 9). Melalui Kristus, kita dapat hidup dalam kebebasan dan harapan setiap hari.