Sewaktu cucu lelaki kami, Jay masih kecil, ibu bapanya menghadiahkan sehelai baju yang baru untuk hari jadinya. Dia terus memakai baju itu serta mengenakannya sepanjang hari.

Ketika dia muncul pada keesokan paginya dengan baju tersebut, bapanya bertanya, “Jay, adakah baju itu membuat kamu gembira?”

“Tidak sama seperti kelmarin,” jawab Jay.

Itulah masalah dengan pemilikan kebendaan: Barang yang baik dalam hidup pun tidak memberikan kita kegembiraan yang dalam dan kekal seperti yang kita inginkan. Walaupun kita mungkin ada banyak harta, kita masih berasa tidak gembira.

Dunia ini menawarkan kegembiraan melalui pemilikan fizikal: baju baru, kenderaan baru, jam atau telefon canggih. Tetapi tiada pemilikan material yang dapat membuat kita gembira seperti kelmarin. Itu kerana kita diciptakan untuk Tuhan, dan tiada benda lain dapat memuaskan kita.

Pada suatu hari, semasa Yesus sedang berpuasa dan lemah kerana kelaparan, Iblis datang kepada-Nya dan mencubai-Nya untuk memuaskan rasa lapar dengan menciptakan roti. Yesus membalas dengan memetik Ulangan 8:3: Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah” (Matius 4:4).

Yesus tidak bertujuan bahawa kita hanya hidup dengan makan roti. Dia sedang menyatakan suatu kenyataan: Kita ialah makhluk rohani dan justeru itu kita tidak dapat hidup dengan barangan fizikal semata-mata.

Kepuasan sejati hanya ditemukan dalam Tuhan dan kekayaan-Nya.