Sebelum mengikut jejak Yohanes Pembaptis dengan menjalani kehidupan di padang gurun, Mary yang berasal dari Mesir (344-421 TM) menghabiskan masa mudanya mengejar keseronokan dalam hubungan sulit dan menggoda lelaki. Pada kemuncak “kariernya” yang buruk itu, dia pergi ke Yerusalem untuk cuba menggoda para penziarah Kristian. Sebaliknya, dia mengalami keinsafan yang mendalam daripada dosa-dosanya, dan kemudian hidup dalam pertaubatan serta menyendiri di padang gurun. Perubahan hidup Mary yang luar biasa itu menyatakan kebesaran rahmat Tuhan dan kuasa salib yang memulihkan.

Pengikut Yesus yang bernama Petrus menyangkal Yesus sebanyak tiga kali. Hanya beberapa jam sebelum penyangkalan itu, Petrus telah mengisytiharkan kerelaannya untuk mati demi Yesus (Lukas 22:33), jadi kesedaran tentang kegagalannya merupakan suatu tamparan yang kuat terhadapnya (ayat 61-62). Selepas kematian dan kebangkitan Yesus, Petrus sedang memancing dengan para pengikut yang lain ketika Yesus datang kepada mereka. Yesus memberikan Petrus peluang untuk mengisytiharkan kasihnya kepada Yesus sebanyak tiga kali—untuk penyangkalannya (Yohanes 21:1-3). Kemudian dengan setiap pengisytiharan, Yesus mengarahkan Petrus untuk menjaga umat-Nya (ayat 15-17). Akibat daripada penyataan rahmat yang luar biasa itu, Petrus akan memainkan peranan yang penting dalam membangun gereja dan akhirnya menghilangkan nyawanya bagi Kristus.

Biografi setiap kita boleh bermula dengan senarai kegagalan dan kekalahan. Tetapi rahmat Tuhan selalu mengizinkan kita memiliki kesudahan hidup yang berbeza. Disebabkan oleh rahmat-Nya, Dia menebus dan mengubah kita.