Di Boston, Massachusetts, sebuah plak yang bertuliskan “Merentasi Mangkuk Air Mata” memperingati orang yang mengharungi Lautan Atlantik untuk melepaskan diri daripada bencana Kebuluran Besar Ireland pada akhir tahun 1840-an. Lebih daripada sejuta orang telah mati dalam bencana itu, sementara lebih daripada sejuta yang lain meninggalkan rumah untuk merentasi lautan, yang dikatakan oleh John Boyle O’Reilly dalam puisinya sebagai “semangkuk air mata.” Disebabkan oleh kelaparan dan seksaan jiwa, para pengembara ini berusaha untuk mencari sedikit harapan pada masa yang mendesak.
Dalam Mazmur 55, Daud berkongsi bagaimana dia mengejar harapan. Kita tidak pasti tentang ancaman-ancaman yang dihadapinya. Tetapi beban yang dialaminya itu sudah cukup menghancurkannya secara emosi (ayat 5-6). Reaksi nalurinya adalah berdoa, “Sekiranya aku bersayap seperti burung merpati, aku akan terbang mencari tempat yang tenang” (ayat 7).
Seperti Daud, kita mungkin ingin terbang untuk melarikan diri ke tempat yang selamat di tengah-tengah situasi yang menyakitkan. Bagaimanapun, setelah mempertimbangkan keadaannya yang susah itu, Daud tidak melarikan diri daripada hal-hal yang menyeksa jiwa, sebaliknya dia memilih untuk berlari kepada Tuhannya sambil bernyanyi, “Tetapi aku berseru kepada TUHAN Allah untuk menolong aku, dan Dia akan menyelamatkan aku” (ayat 17).
Apabila masalah tiba, ingatlah bahawa Tuhan ialah sumber segala ketenangan yang mampu membawa anda melalui masa gelap dan ketakutan yang terdalam. Dia berjanji bahawa suatu hari nanti Dia akan menyapu setiap titis air mata kita (Wahyu 21:4). Dengan kekuatan daripada keyakinan ini, kita boleh menyerahkan penderitaan kita kepada-Nya sekarang dengan yakin.